| Ustaz Ridzuan Hashim, Mantan Imam MDESJ |
MUQADDIMAH
Bermula pada akhir abad ke-17, dunia menyaksikan suatu peristiwa penting yang berlaku di benua Eropah khususnya di Britain yang merubah kehidupan masyarakat di sana malah turut mempengaruhi kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Peristiwa itu ialah gerakan pembaharuan atau perubahan secara besar-besaran dan menyeluruh yang dikenali sebagai gerakan revolusi.
Di bidang ekonomi berlakunya Revolusi Pertanian yang menyaksikan berlaku perubahan di dalam sistem dan teknologi pertanian. Kemudian diikuti dengan Revolusi Perindustrian sekitar tahun 1760-1820. Manakala di dalam bidang politik pula, tercetus Revolusi Inggeris pada tahun 1688, Revolusi Amerika pada tahun 1776, Revolusi Perancis tahun 1789 dan akhirnya Revolusi Rusia pada tahun 1917.
Perubahan yang melanda masyarakat turut memberi kesan besar kepada aliran pemikiran manusia pada ketika itu. Keghairahan untuk mengejar kemajuan dan ketamadunan menyebabkan manusia mengabaikan nilai moral dan akhlak; apa yang lebih penting ialah kemajuan sains dan teknologi perlu dilaksanakan. Lantaran itu lahirlah satu gaya pemikiran baru yang memisahkan aspek kehidupan daripada agama.
Agama dilihat sebagai penghalang kepada kemajuan malah dipandang sebagai punca penindasan, keganasan dan kemunduran manusia. Sebelum itu masyarakat Eropah telah dikongkong oleh penguasaan gereja serta dikawal oleh pelbagai akta dan peraturan yang digubal semata-mata untuk kepentingan golongan ahli agama (Kristian) sahaja. Realitinya, agama telah diperalatkan dan menjadi satu barang komoditi yang cukup bernilai bagi sesetengah pihak.
Oleh kerana itu kedengaran seruan supaya dipisahkan antara agama dari aspek kehidupan. Inilah fahaman yang disebut sebagai sekularisme. Fahaman ini mula mendapat perhatian masyarakat sehingga berjaya mendominasi suasana kehidupan mereka.
Fahaman ini pula mula meresap masuk ke dalam pemikiran masyarakat Islam melalui penjajahan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Eropah ke atas negara-negara mereka. Negara seperti Turki dan Mesir adalah contoh terbaik di mana sekularisme mula membarah dan meresap ke dalam masyarakat Islam bermula dengan penguasaan di dalam bidang politik dan pentadbiran.
Akhirnya seluruh aspek kehidupan mula diresapi fahaman asing yang menyesatkan ini, sehingga menjadikan ajaran Islam cukup asing kepada umatnya sendiri. Skopnya dihadkan kepada persoalan ibadah atau hubungan dengan Tuhan sahaja manakala di dalam bidang kehidupan yabg berkait dengan hubungan sesama manusia, agama tidak boleh dicampur adukkan sama sekali.
Sekali imbas, umat Islam seolah-olah tidak menyedari bahaya fahaman ini kerana ia tidak menolak ajaran Islam secara total malah amalan agama tetap dibenarkan seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Manakala tempat-tempat ibadah seperti masjid dan surau tetap dibina. Bahayanya ialah kerana sekularisme tidak menerima syariah Islam sebagai dasar tertinggi di dalam sistem politik atau pemerintahan negara. Bidang kuasa agama di dihadkan.
Kini sekularisme telah menjadi ideologi yang cukup merbahaya dan berjaya menyebarkan racun berbisanya di kebanyakan negara umat Islam; merosakkan akidah murni mereka, menunduk dan mendorong mereka kepada lurah kebinasaan, perpecahan dan kebinasaan.
Proses pengasingan agama daripada urusan dunia khususnya politik, ekonomi dan sosial dilakukan dengan penuh strategi; secara beransur-ansur dengan menggunakan slogan-slogan yang lunak dan enak seperti prinsip kebebasan dan ketamadunan malah kadang-kadang dengan slogan ‘Islam yang sederhana’ dan ‘Islam yang berhikmah’.
Slogan-slogan seperti inilah yang dapat memperdayakan sebahagian masyarakat Islam sehingga mereka sanggup menerima fahaman sekularisme yang sesat lagi menyesatkan ini sebagai dasar dalam kehidupan mereka.
Sejarah Dan Faktor Kemunculan Sekularisme
Dari segi sejarah, fahaman sekularisme mulai muncul di Eropah setelah berlakunya zaman Renaissance dalam abad 14M hingga abad 16 M.[1] Abad ini menjadi tonggak sejarah pembangunan kebudayaan Barat. Fahaman ini muncul di dalam masyarakat Eropah dengan menggantikan ciri-ciri Kristian yang telah mewarnai Eropah sepanjang abad pertengahan. Ia adalah rentetan kepada siri-siri penentangan masayarakat kepada institusi gereja dan paderi yang menguasai dan mengongkong kehidupan sehingga menimbulkan suasana huru hara dan kezaliman yang cukup kejam di tengah-tengah masyarakat. Kecenderungan ini tersebar ke seluruh dunia terutama setelah meletusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789.
Terdapat beberapa faktor penting yang membawa kepada kemunculan fahaman sekularisme ini. Antara faktor-faktor tersebut ialah sepertimana berikut:
i) Kezaliman Pihak Gereja
Pada sekitar abad pertengahan, pihak gereja di Eropah telah menguasai seluruh kehidupan masyarakat. Penguasaan ini akhirnya menjadikan mereka menyeleweng dan menyalahguna kuasa yang ada. Golongan gereja bermaharajalela melakukan apa sahaja menurut kehendak hawa nafsu mereka tanpa ada pihak yang mampu menghalang mereka. Mereka berubah menjadi kejam, zalim dan menyelewengkan kuasa agama dengan berselindung di sebalik slogan kependitaan, Majlis Makan Malam Ketuhanan dan sebagainya.
Pemimpin gereja telah melampaui batas hingga ke tahap memberi hak kepada diri mereka sendiri yang tidak pernah diberikan oleh Allah. Pope misalnya didakwa sebagai pengganti al Masih di bumi. Beliau mempunyai kekuasaan umum ke atas hamba-hamba Allah. Perintahnya wajib dilaksanakan oleh masyarakat. Beliau dan mereka yang memegang tampuk tersebut adalah golongan suci terpelihara dari sebarang kesalahan. Mereka sahaja yang berhak mentafsir kitab suci Injil.
Umpamanya Pope Innocent III (1161-1216) yang telah diberikan hak mutlak dalam mentafsirkan Bible. Mereka ini mendakwa membentuk kerajaan tuhan, memiliki kuasa mengampun segala kesalahan dan dosa bagi setiap yang mereka ingini. Segala peraturan yang digubal oleh mereka terpaksa diterima masyarakat Kristian dengan sepenuhnya. Mereka dianggap golongan yang paling mulia dan mempunyai hubungan batin dengan Tuhan.
Dari sini pemimpin agama Kristian telah meletakkan ke atas diri mereka kuasa yang mutlak yang mereka angkatkannya melebihi kuasa para pemimpin kerajaan. Mreka turut campurtangan dalam hal ehwal pemerintahan. Umpamanya apa yang pernah dilakukan oleh Pope Innocent III, di mana beliau pernah memaksa Raja John, pemerintah England supaya tunduk dan menjadi orang suruhan beliau. Beliau pernah berkata: “ tiada kelepasan bagi jiwa seseorang apabila tidak tunduk kepada Pope. Akulah raja segala raja dan Pope yang menguasai seluruh agama ”.
Mereka juga telah campurtangan dalam urusan menentukan siapa yang bakal menaiki takhta dan berkuasa pula menurunkan mereka sebagaimana yang perna berlaku kepada Raja Henry IV yang diturunkan oleh Pope dari takhtanya dan dinaikkan semula setelah Raja Henry mengisytiharkan taubatnya dan diampunkan oleh Pope. Campurtangan ini telah menimbulkan kemarahan kepada pemimpin-pemimpin kerajaan.
Akhirnya telah mencetuskan peperangan dan persengketaan antara daulah dan gereja beberapa kurun lamanya. Dari sini wujudlah dalam masyarakat Kristian yang saling bertentangan. Satu pihak dipelopori oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang memerintah dan satu pihak dipelopori oleh pemimpin-pemimpin agama. Sehubungan dengan ini muncullah masalah antara agama dan negara.
ii) Perkembangan Bidang Astronomi
Pihak gereja telah berjaya memegang tampuk pemerintahan dan kekuasaan sepanjang kurun pertengahan di Eropah sehinggalah meletusnya zaman kebangkitan sains atau ilmu astronomi di sana. Perkembangan dalam bidang sains atau astronomi ini telah menimbulkan kontroversi kerana-kerana teori-teori barunya Dengan itu maka lahirlah pula pertembungan baru antara gereja dengan tokoh-tokoh sains. Bagi menghadapi perkembangan tersebut, pihak gereja telah mereka cipta teori-teori palsu mengenai sains yang bertentangan dengan realiti, yang kemudiannya dicelupkan dengan acuan agama.
Mereka menganggap ianya adalah sebahagian daripada ajaran dan prinsip agama al Masih yang wajib diyakini manakala yang bertentangan dengannya hendaklah dibendung dan dibuang.
Tokoh-tokoh biologi telah berjaya menghancurkan teori-teori yang dikemukakan oleh gereja dengan mengemukakan berbagai penemuan baru sains yang diperkukuhkan dengan bukti-bukti dari alam realiti. Galilio telah mengemukakan teori peredaran bumi mengelilingi matahari dalam menghadapi teori gereja yang berpendapat bahawa bumi tetap diorbitnya. Yang beredar hanyalah matahari sahaja.
Bruno juga berjaya mengemukakan teori pelbagai jenis orbit berasaskan penyelidikan yang dibuat melalui teleskop dalam menghadapi toeri yang dikemukakan oleh gereja yang membataskan kepada orbit-orbit tertentu sahaja.
Sebenarnya penemuan bidang-bidang baru ini seperti bidang perubatan, matematik, astronomi, kimia dan lain-lain mendapat bantahan dan ancaman keras daripada pihak gereja disebabkan kesemua ilmu ini adalah diperolehi daripada universiti-universiti Islam di Sepanyol. Pihak gereja bimbang berlakunya perkembangan tamadun Islam di Eropah sekaligus memadamkan penguasaan mereka ke atas kehidupan masyarakat Kristian.
Oleh sebab itu gereja mula menentang habis-habisan penerokaan baru ini. Mereka telah menghukum kafir ke atas tokoh-tokoh sains, membakar buku-buku mereka dan menghalalkan darah mereka. Mahkamah Eropah pernah menjatuhkan hukuman mati ke atas 340 000 orang ilmuan barat dan membakar hidup-hidup 32 000 orang lagi termasuklah di kalangan mereka tokoh biologi yang terkenal iaitu Bruno dan Galilio itu sendiri.
Pope Agung Gharighorous pernah menghalau seluruh para pelajar pengajian sains dari negara Rom dan juga membakar perpustakaan “Bulatin”. Sikap gereja menyebabkan masyarakat Kristian semakin benci dan mulai menentang kuasa gereja serta memisahkan dunia mereka daripada pengaruh gereja.
Persengketaan antara gereja dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan golongan sains ini berterusan dan ianya berakhir dengan tercapainya persetujuan bersama antara kedua belah pihak iaitu dengan cara ditentukan pengkhususan masing-masing.
Pihak Daulah atau negara bertanggungjawab dalam hal ehwal politik, ekonomi, pendidikan dan juga perundangan. Manakala pihak gereja pula bertanggungjawab dalam urusan yang bersangkutan dengan keluarga, adat istiadat perkahwinan, urusan kematian dan ibadat. Dengan makna yang lebih jelas lagi, agama tugasnya hanyalah di dalam gereja sahaja, tidak layak berada di luar gereja. Pemimpin-pemimpin negara dan tokoh-tokoh sains pula menguruskan kehidupan dengan cara yang sesuai dengan mereka, sama ada bertepatan dengan prinsip-prinsip agama atau tidak.
iii) Penerokaan dan Penemuan Bidang-bidang Baru
Bertolak daripada perasaan tidak puas hati kepada golongan gereja, masyarakat Eropah menjadikan penemuan-penemuan baru mereka sebagai tumpuan walaupun sebenarnya institusi gereja hampir menjadi kuasa teragung di sepanjang kurun pertengahan di Eropah. Di antara bidang yang berkembang maju pada abad 16 ialah sudut perkembangan teknologi khususnya Teknologi Binaan dan Proses Pembangunan Masyarakat. Masyarakat yang sememangnya sudah tidak senang dengan golongan gereja akibat kemerosotan moral telah menjadikan bidang ini sebagai tumpuan mereka.
Hal ini menjadikan fahaman sekularisme atau semangat memisahkan kehidupan mereka daripada pengaruh gereja mulai tumbuh dan membaja. Pada masa itu juga masyarakat Barat sendiri mula berlumba-lumba mengejar kekayaan dan kemewahan sehingga berlaku pengabaian terhadap ajaran agama.
iv) Perkembangan Ekonomi
Sikap materialistik masyarakat Eropah yang diwarisi secara turun temurun dan telah menjadi sebati dengan kehidupan mereka adalah juga salah satu daripada faktor pertumbuhan sekularisme di Barat. Perkembangan ekonomi yang merangsang masyarakat serta kedudukan Itali yang strategik menambahkan keinginan mereka untuk menceburi bidang ekonomi dengan mengenepikan nilai-nilai agama dalam kehidupan.
Definisi Sekularisme
Sekularisme dapat ditakrifkan sebagai:
Fahaman falsafah yang memisahkan urusan-urusan keduniaan dengan urusan-urusan agama.
Ia meninggalkan peranan agama (Kristian) dan Tuhan daripada segala urusan kehidupan manusia.
Ia meninggalkan peranan agama (Kristian) dan Tuhan daripada segala urusan kehidupan manusia.
Ia juga ditakrifkan sebagai satu gerakan yang bertujuan untuk memalingkan manusia dan mengarahkan mereka daripada mengambil berat tentang persoalan hari akhirat kepada urusan dunia sahaja.
Manurut Kamus BBC, sekularisme ialah kepercayaan bahawa agama tidak sepatutnya mempunyai sebarang pengaruh atau hubungan dengan pentadbiran sesebuah negeri, sebagai contohnya di dalam bidang pendidikan atau pun aturan politik. Oleh itu untuk mengsekularkan sesuatu sistem seperti masyarakat atau pendidikan ialah bermakna merubahnya sehingga ia tidak lagi berada di bawah kawalan atau pengaruh agama.
Menurut Dr. Ali Jarisyah dalam kitabnya al Ittijahat al Fikriyyah al Mu’asirah bahawa, sekularisme yang pada umumnya difahami sebagi satu fahaman yang memisahkan agama daripada pemerintahan (negara) atau kehidupan, bukanlah bermakna golongan yang berfahaman demikian mengingkari agama sama sekali kerana itu adalah golongan mulhid atau kafir, tetapi ia bermakna membataskan bidangkuasa agama dalam batasan tertentu yang tidak sampai kepada kehidupan masyarakat atau negara secara menyeluruh.
Oleh itu fahaman sekularisme tidak menghalang daripada perlaksanaan syiar-syiar agama tetapi ia menghalang penguasaannya sehingga kepada masyarakat dan negara.
Dr. Yusuf al Qardhawi menjelaskan bahawa walaupun di kalangan pendokong fahaman sekularisme itu ada yang mengingkari kewujudan Allah Ta’ala, atau mengikari risalah dan wahyuNya atau mengingkari kewujudan hari akhirat, tetapi ini semua bukanlah ciri-ciri asas kepada fahaman sekularisme. Ini kerana kemunculannya di barat dan mereka yang menganut fahamannya bukanlah dari kalangan mereka yang mengingkari kewujudan Allah bahakan mereka hanya menghalang gereja dalam hal-hal yang berkait dengan ilmu kehidupan. Bahkan kesemuanya itu adalah bermaksud untuk memisahkan agama daripada politik negara, sistem ekonomi, sosial, kebudayaan dan pendidikan.
Berasaskan pengertian-pengertian dan huraian di atas, sekularisme bolehlah difahami secara dasarnya sebagai sebuah ideologi atau ajaran yang membina seluruh pengarahan hidup manusia dalam semua aspek selain dari ibadah keagamaan, di atas asas kepentingan, keperluan, ukuran dan nilaian duniawi semata-mata. Dengan lain perkataan ia adalah satu fahaman kebendaan yang menolak nilaian dan ukuran akhirat atau agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara, atau sebagai fahaman yang menjadikan pemenuhan tuntutan duniawi sebagai matlamat tertinggi dan sebenar manusia.
Selain dari itu, sekularisme dengan kata lain juga merupakan fahaman yang memisahkan agama daripada daulah (pemerintahan negara) dan membataskan bidangkuasa atau skop agama di tempat-tempat ibadah sahaja serta menyempitkan pengertiannya kepada perkara-perkara yang berkait dengan ibadah semata-mata.
Sekularisme Berlawanan Dengan Islam
Sesungguhnya sekularisme dengan huraian dan pengertian di atas adalah berlawanan dan bercanggah sama sekali dengan Islam. Oleh itu Islam menolak sekularisme secara keseluruhannya. Ia tidak boleh berada bersama dengan Islam. Islam berada di satu lembah manakala sekularisme berada di lembah yang lain. Islam adalah Islam, sekularisme adalah sekularisme. Ia tidak bercampur aduk sama sekali antara satu sama lain. Islam menolak sekulrisme kerana beberapa sebab dan ciri yang ada padanya sebagaimana berikut:-
a) Sekularisme dan pendokongnya menerima akidah Islam setakat satu pegangan dan iktiqad yang tersemat di hati seseorang individu. Mereka tidak boleh menerima jikalau akidah hendak dipraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat. Mereka juga tidak melihat bahawa kewajipan beriltizam dan melaksanakan syariat Allah dan Rasul itu sebagai satu tuntutan utama aqidah.
b) Sekularisme dan pendokongnya boleh terima perkara-perkara ibadat kalau setakat dilakukan oleh seseorang individu tanpa perlu kepada pengawalan dan campur tangan pihak pemerintah. Mereka menganggap urusan ibadat adalah urusan peribadi seseorang muslim yang mana pemerintah tidak perlu mengambil tindakan dan mengawasinya.
c) Sekularisme boleh terima akhlak dan moral selama mana tidak menyakiti orang ramai. Pendokong sekularisme boleh terima akhlak yang sesuai dengan amalan dan kehendak barat. Manakala mana-mana yang dirasakan tidak sesuai, maka ia ditolak. Banyak perkara seperti cara berpakaian, cara makan, pergaulan lelaki dan perempuan disesuaikan dengan adat atau cara barat bukan dengan akhlak Islam. Oleh itu mereka boleh membenarkan masyarakat untuk berjudi, meminum arak dan menjualnya. Mereka boleh terima cara berpakaian yang mendedahkan aurat. Perempuan-perempuan mereka menutup kepala jika menghadiri majilis-majlis kematian, sedangkan di waktu-waktu lain kepalanya selalu terdedah. Penutupannya secara bermusim dan kerana adat, tuntutan semasa fesyen pekaian atau budaya, bukannya kerana tuntutan Islam. Sedangkan hal-hal sedemikian tidak dibolehkan dalam Islam.
d) Sekularisme dan pendokong-pendokongnya banyak yang menolak syariat Islam dan hukum hakamnya. Hukum-hukum Islam tidak dilaksana sepenuhnya, bahkan dipenjara tanpa had masanya. Mereka meninggal hukum-hukum mengenai perkara urusan kemasyarakatan, urusan pemerintahan, ekonomi dan lain-lain. Mereka menerima pakai hukum-hukum Islam yang berhubung dengan ibadat seperti sembahyang dan puasa manakala dalam perkara undang-undang jenayah, mereka menghukum dengan undang-undang ciptaan manusia bukannya syariat Allah.
e) Mereka mengambil Islam yang sesuai dengan kemahuan dan menolak yang tidak disukainya. Atau dengan kata lain, mereka beriman dengan setengah ajaran Islam dan menolak setengah yang lain. Sikap ini sama seperti sifat ahli kitab yang terdahulu sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Apakah kamu beriman dengan sebahagian ajaran kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain. (Al Baqarah: ayat 85)
Dr. Yusuf al Qardhawi menegaskan, dari sini bolehlah dibuat kesimpulan bahawa pendokong sekularisme seolah-olah mereka lebih alim dan lebih bijak daripada Allah dan RasulNya. Mereka seolah-olah berkata kepada Allah:
نحن أعلم بما يصلح بنا منك والقوانين أهدى سبيلا من أحكام شريعتك
Ertinya: Kami lebih mengetahui mengenai apa yang sesuai untuk kami dan undang-undang yang lebih betul daripada hukum-hukum syariatMu.
Penutup
- Menjadi kewajipan aini ke atas setiap umat Islam memahami hakikat Islam yang sebenar di samping mengetahui apakah itu sekularisme yang merupakan satu bentuk aliran pemikiran moden yang menjauhkan umat Islam daripada berpegang dan beramal dengan agama mereka sendiri sebagaimamna yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya sollallahu ‘alaihi wasallam.
- Satu perkara yang perlu ditegaskan di sini ialah pendokong sekularisme adalah golongan yang bertuhankan benda dan hidup mereka hanya bermatlamatkan duniawi. Gejala rasuah ditentang dan dibenteras hanya apabila ia dilihat mengancam pembangunan negara dan masa depan bangsa. Ia tidak dilihat dari aspek dosa dan kemurkaan Allah serta ancaman nerakaNya.
- Begitulah dengan gejala yang lain seperti murtad dan seumpamanya. Ia tidak dipandang serius jika tidak menyentuh dan menjejaskan kepentingan duniawi mereka. Rakyat dimarahi kerana tidak berterima kasih kepada pemerintah yang kononnya berjasa memberikan pembangunan kepada mereka tetapi diwaktu yang sama rakyat dibiarkan derhaka dan tidak bersyukur kepada Allah abapila mereka dibiarkan terjebak dengan pelbagai bentuk maksiat dan gejala yang meruntuhkan akhlak mereka. Bahkan pemerintah pula terlibat sama dengannya.
- Dalam sebuah negara sekular, ia tidak mengahalang daripada wujudnya institusi agama seperti jabatan agama, mahkamah syariah, masjid dan seumpamanya. Tetapi ia membataskan bidang kuasanya dengan batasan yang sangat terhad. Oleh itu, dalam hal ini umat Islam seharusnya tidak keliru, terkeliru dan dikelirukan. Malaysia adalah contoh yang jelas dalam hal seperti ini.
Rujukan
- Sulaiman Nordin. Islam, al Quran dan Ideologi Masa Kini. Cetakan I, 1995. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
- Safr bin Abdul Rahman al Hawali. al ‘Ilmaniyyah Nasy-atuha wa Tathowwuruha wa Atharuha Fi al Hayah al Islamiyyah al Mu’asirah. Cetakan I, 1402H / 1982M. Dar Makkah. Makkatul Mukarramah.
- Dr. Ali Jarisyah. al Ittijahat al Fikriyyah al Mu’asirah. Cetakan III, 1411H / 1990M.Dar al Wafa’, al Mansurah, Mesir.
- Dr. Yusuf al Qardhawi. al Islam wa al ‘Ilmaniyyah Wajhan Li Wajhin. Cetakan III, 1412H / 1992M. Muassasah al Risalah, Beirut.
- Dr, Sa’adduddin al Sayyid Salih. Strategi Musuh Menentang Islam, Terj. Ust. Basri Ibrahim. Cetakan I 1996. Darul Nu’man, Kuala Lumpur.
- Zulkifli Haji Ismail. Ancaman Bahaya Sekularisme. Cetakan I, 2002. Angkatan Edaran Ent. Sdn.Bhd, Shah Alam.
- Tesis MA; Sekularisme Dalam Politik: Satu Kajian Menurut Perspektif Islam oleh Mohd Adlin bin Salleh.
- Kertas kerja; Islam dan Pertentangannya Dengan Fahaman Sekular oleh Us. Zakaria @ Mahmud Daud.
.