Sabtu, Mei 09, 2009

Seni Keindahan Dalam Islam

SENI KEINDAHAN

Pandangan Islam Mengenai Lukisan, Ukiran Dan Fotografi

| Oleh Ustaz Ridhuan Hashim, Mantan Imam MDESJ |

Muqaddimah

Persoalan berkenaan dengan lukisan ini (pembentukan rupa) telah disebut dalam al Quran dengan menyatakan bahawa ia adalah salah satu urusan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Allahlah yang menciptakan rupa-rupa yang indah, terutamanya makhluk-makhluk yang hidup khususnya manusia.

Firman Allah Taala:

هو الذي يصوركم فى الأرحام كيف يشآء

Maksudnya: Dialah (Allah) yang menggambarkan atau membentukkan rupa kamu di dalam rahim (ibumu) sebagaimana yang dikehendakiNya. (Aali ‘Imran:6)

Firman Allah Taala: وصوركم فأحسن صوركم

Maksudnya: Dan Dia (Allah) telah merupakan kamu dengan sebaik-baik rupa (bentuk).

( al Taghabun: 3)

Bahkan antara nama-nama Allah yang indah itu ialah : المصور sepertimana dalam firmanNya:

هو الله الخالق البارئ المصور له الأسمآء الحسنى

Maksudnya: Dialah Allah Yang Maha Menciptakan, Yang Maha Mengadakan, Yang Maha Pembentuk Rupa, bagiNya nama-nama yang indah dan baik.

( al Hasyr: 24)

Lukisan Dan Ukiran Dalam Al Sunnah

Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang menyentuh tentang gambar sama ada dengan maksud lukisan atau ukiran. Antaranya ialah:

1. Diriwayatkan dari Aisyah r.a. katanya: ketika mana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam jatuh sakit, Baginda menyebutkan kepada sebahagian isteri Baginda bahawa terdapat sebuah gereja yang bernama “Mariah”. Ketika itu Ummu Salamah dan Ummu Habibah pergi ke Habsyah. Mereka pun menceritakan tentang kecantikan dan patung-patung. Lantas Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam mengangkat kepala Baginda dan bersabda: Mereka itu, apabila mati orang soleh di kalangan mereka, mereka membina masjid di atas kuburnya. Kemudian mereka membuat patung-patung di dalam masjid tersebut. Mereka itu

adalah makhluk Allah-makhluk Allah yang jahat.

( Riwayat al Bukhari dan Muslim)

2. Diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud secara marfu’[1]: Sesungguhnya manusia yang paling dahsyat azab di sisi Allah ialah pelukis ( pengukir ).

( Riwayat al Bukhari dan Muslim)

3. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda; Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman: Siapakah di kalangan manusia yang lebih zalim dari orang yang berusaha membuat seperti ciptaanKu. Kalau mereka mampu maka buatlah sebutir jagung atau biji-bijian atau sehelai rambut.

( Riwayat al Bukhari dan Muslim )

4. Diriwayatkan oleh Qattadah bahawa Ibnu Abbas r.a. pernah berkata bahawa “Aku telah mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang mengukir dengan suatu bentuk ukiran di dunia ini, maka pada hari kiamat kelak Allah akan mentaklifkan kepadanya supaya memberikan atau meniupkan ruh pada ukirannya itu (bagi menghidupkannya) sedangkan dia tidak akan mampu berbuat demikian.

( Riwayat al Bukhari)

5. Diriwayatkan oleh Busr Ibnu Sa’ad dari Zaid Ibnu Khalid al Juhani dari Abu Tholhah r.a. katanya: Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: Sesungguhnya Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya lukisan (gambar ). Busr menceritakan lagi; Kemudian Zaid jatuh sakit. Kami pun menziarahinya. Kami dapati di pintu rumahnya terdapat tirai yang bergambar. Aku pun berkata kepada ‘Ubaidillah al Khawlani iaitu anak didikan Maimunah isteri Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam: “ Bukankah Zaid menceritakan tentang masalah lukisan (gambar) sebelum ini?”. Jawab al Khawlani: “ Adakah kamu tidak mendengarnya berkata: Melainkan yang ditampalkan pada kain?”.

( Riwayat al Bukhari dan Muslim )

6. Diriwayatkan oleh ‘Ubaidillah bin Abdullah bin ‘Utbah bahawa dia telah masuk ke rumah Abu Tholhah al Ansori kerana menziarahinya. Lalu dia dapati di sisinya Sahl bin Hunaif. Kata ‘Ubaidillah: Abu Tholhah telah memanggil seseorang (daripada orang rumahnya) supaya mencabut hamparan di bawahnya. Sahl telah berkata kepadanya: Kenapa kamu mahu mencabutnya?. Jawabnya: Kerana padanya terdapat gambar-gambar dan sesungguhnya Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda mengenainya sebagaimana kamu juga sedia memakluminya. Berkata Sahl: Bukankah Baginda juga bersabda: Melainkan ianya adalah gurisan (lukisan) pada kain (pakaian). Kata Abu Tholhah: Ya, memang benar Nabi bersabda demikian, tetapi ia lebih menenangkan jiwaku.

( Riwayat Al Tirmizi dan beliau berkata hadis ini adalah Hasan Lagi Sahih )

7. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. katanya: Pada satu ketika dulu kami pernah mempunyai langsir yang padanya terdapat gambar burung. Orang yang memasuki rumah tersebut akan mengadap ke arahnya. Lantas Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “ Pindahkan ini, kerana setiap kali Aku masuk ke rumah Aku melihatnya dan Aku akan teringatkan dunia ”.

(Riwayat Muslim )

Menurut satu riwayat daripada Anas r.a., Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Aisyah: “ Alihkan atau jauhkan ia daripadaKu, sesungguhnya gambar-gambar yang ada padanya itu sentiasa menggangguKu dalam sembahyangKu ”.

(Riwayat al Bukhari)

8. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. katanya: Suatu hari Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam pulang daripada satu musafir dan aku telah meletakkan kain sebagai penutup (tabir) pada pintu yang padanya terdapat gambar-gambar. Apabila Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melihatnya, Baginda terus menariknya sehingga mencarikkannya dan bersabda: Manusia yang paling dahsyat azabnya pada hari kiamat ialah mereka yang cuba menandingi ciptaan Allah. Aisyah berkata: Lalu kami jadikannya sebiji bantal atau dua biji.

( Riwayat al Bukhari dan Muslim )

9. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa pada suatu hari beliau telah membeli bantal kecil yang terdapat gambar-gambar padanya. Apabila ia dilihat oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam, Baginda berdiri di tepi pintu dan tidak mahu masuk. Melalui raut wajah Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam, Aisyah menyedari bahawa Baginda tidak suka. Lantas beliau berkata: “ Wahai Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan RasulNya, apakah dosaku? . Tanya Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam, untuk apakah bantal kecil ini?. Jawab Aisyah: “ Aku membelinya untuk kamu boleh menyandar dan tidur di atasnya ”. Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam: “ Pemilik-pemilik gambar ini akan di azabkan pada hari kiamat. Dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kamu ciptakan ”. Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam lagi: “Sesungguhnya rumah yang terdapat gambar di dalamnya tidak akan dimasuki oleh para Malaikat ”.

( Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Di sana masih banyak terdapat hadis-hadis sahih yang menyentuh tentang persoalan lukisan dan gambar serta ukiran sebagaimana yang terdapat dalam kitab-kitab hadis yang sahih seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Jami’ al Tirmizi.Hadis-hadis tersebut diriwayatkan oleh sejumlah sahabat seperti Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Aisyah, Abu Hurairah dan Abu Tholhah Radhiyallahu ‘anhum.


Hukum Gambar Dalam Bentuk Lukisan

Para ulamak tidak sepakat dalam menentukan hukum mengenainya. Mereka mempunyai pelbagai pendapat tentangnya disebabkan perbezaan pemahaman terhadap hadis-hadis yang diriwayatkan mengenainya.

Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Muslim bahawa semua jenis bentuk lukisan yang mempunyai roh seperti manusia dan haiwan adalah haram jika ia diambil dan digantung pada dinding rumah atau terdapat pada kain pakaian atau di serban dan seumpamanya yang terdiri daripada tempat-tempat yang tidak dianggap menghinakannya. Pengharaman tersebut merangkumi semua jenis sama ada dalam bentuk gambar lukisan atau patung, cantik (menyerupai bentuk sebenar) atau tidak. Jika gambar tersebut ada pada hamparan, pada bantal atau tilam dan seumpamanya yang terdiri daripada sesuatu yang dipijak dan dilasak maka hukumnya adalah harus. Ini berdasarkan kepada hadis ketujuh di atas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a..Walaupun Imam Nawawi mengharuskan penggunaan gambar pada hamparan, bantal dan seumpamanya tetapi beliau tetap mengharamkan perbuatan melukis gambar, sama ada yang berjisim (patung) atau tidak (lukisan) kerana berpegang kepada larangan hadis daripada berbuat sedemikian sebagaimana dalam hadis yang pertama, kedua, ketiga, keempat, kelapan dan kesembilan di atas. Menurut Imam Nawawi bahawa inilah pendapat di sisi jumhur (kebanyakan) ulamak daripada sahabat dan tabi’in. Inilah juga pendapat al Thauri, Malik, Abu Hanifah dan Syafie.

Dalam Mazhab Hanabilah (ulamak-ulamak dalam Mazhab Hanbali), mereka berpendapat bahawa harus pada gambar yang ada pada kain atau pakaian walaupun ianya digantung. Ini berdasarkan kepada hadis yang keenam. Walau bagaimanapun, sekiranya kain bergambar tersebut dijadikan tirai atau langsir yang menutupi dinding maka hukumnya tidak diharuskan.

Sebahagian ulamak salaf berpendapat bahawa hukum pengharaman hanyalah terbatas kepada yang berbentuk (yang mempunyai bayang) sahaja iaitu apa yang dikenali sekarang dengan patung. Ini kerana ia amat ketara persamaannya dengan berhala serta ia lebih cenderung kepada menyaingi ciptaan Allah kerana ciptaan Allah itu adalah berbentuk dan berjisim. Lihat hadis yang ketiga di atas iaitu Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a..

Makhluk Allah Subhanahu Wa Ta’ala mempunyai bentuk, iaitu yang menerima dimasukkan roh ke dalamnya. Yang tidak berbentuk atau berjisim tidak mempunyai roh. Lagipun ukiran yang berbentuk itu termasuk di dalam kemewahan dan berlebih-lebihan terutamanya yang diperbuatkan dari galian-galian yang mahal. Inilah pandangan sebahagaian ulama’ salaf. Al Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa ia adalah pendapat al Qasim Ibnu Muhammad yang merupakan salah seorang dari tujuh ahli fiqh Madinah yang terkenal dan beliau adalah ulamak yang terbaik pada zamannya. Beliau juga merupakan anak saudara kepada Aisyah r.a.

Pendapat ini bersandarkan kepada hadis yang kelima dan dikuatkan lagi dengan hadis yang keenam di atas. Begitu juga dengan hadis yang ketujuh, di mana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam hanya memerintahkan supaya ia dipindahkannya sahaja tetapi tidak melarang atau mengharamkannya disebabkan gambar-gambar tersebut.

Menurut Al Syeikh Dr. Yusuf al Qardhowi dalam kitabnya “ Malamih al Mujtama’ al Muslim ”“ arjah ” iaitu yang paling kuat dalam masalah ini ialah pendapat yang membataskan pengharaman hanya kepada yang berbentuk iaitu patung sahaja. Sementara gambar atau lukisan permukaan rata seperti kertas, dinding, kayu dan sebagainya, maka paling kuat hukumnya hanyalah sekadar makruh tanzih[2] sebagaimana yang telah disebutkan oleh al Khitobi, melainkan jikalau ia keterlaluan dan sangat mahal seperti gambar dan lukisan yang dijual berjuta-juta dolar dan sebagainya. Al Khitobi pernah berkata: “ Sesungguhnya pelukis yang melukis gambar haiwan maka aku berharap mudah-mudahan ia tidak termasuk dalam ancaman (sebagaimana dalam hadis), kerana tiadalah ianya melainkan sekadar gurisan (lukisan gambar) sahaja ”. bahawa pendapat yang

Walaubagaimanapun melukis suatu lukisan (gambar atau patung) yang menjadi simbul agama tertentu selain daripada Agama Islam seperti lambang salib nasrani maka hukumnya adalah haram tanpa syak lagi. Begitu juga melukis gambar sesuatu yang disembah selain daripada Allah. Sekiranya gambar kepada sesuatu yang tidak disembah, tetapi ia diniatkan untuk menyaingi ciptaan Allah atau pembuatnya mendakwa bahawa dia telah mencipta sepertimana Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka hukumnya adalah haram. Inilah yang ditegaskan oleh Dr. Yusuf al Qardhowi dalam kitabnya “ Malamih al Mujtama’ al Muslim ” dan “ al Halal Wa al Haram Fi al Islam ”.

Hukum Mengukir Patung

Berkata Ibnu al ‘Arabiyy: Gambar yang mempunyai bentuk dan berjisim (patung) maka hukumnya adalah haram dengan ijma’ (sepakat) para ulamak. Berkata Abdul Qadir Ahmad ‘Atho: Ia termasuk dalam dosa-dosa besar.

Al Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf (bekas mufti negara Mesir) pernah berkata dalam fatwanya sebagaimana yang tercatit dalam kitab “ Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah ” :

فإن كانت الصورة مجسمة وهي التي لها ظل كالتماثيل المعروفة،حرم صنعها واتخاذها بالإجماع.

Ertinya: Jika gambarnya itu berjasad, iaitu yang mempunyai bayangan seperti patung-patung yang sedia dimaklumi, maka haram membuat dan mengambilnya dengan ijma’ para ulamak.

Ini semua adalah sekiranya bentuk patung tersebut sempurna lengkap anggotanya. Jika sekiranya patung itu dipotong kepalanya atau bentuknya separuh badan atau yang sudah rosak bentuknya yang sekira-kira tidak akan menghidupkannya jika dimasukkan ruh padanya maka hukumnya tidaklah haram. Ini berdasarkan kepada satu hadis yang menyebutkan bahawa Jibril a.s. tidak mahu masuk ke rumah Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam kerana di pintu rumahnya ada sebuah patung. Hari berikutnya pun, Jibril tidak mahu masuk sehingga dia mengatakan kepada Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam:

مر برأس التمثال فليقطع حتى يصير كهيئة الشجرة

ertinya: “ Perintahkanlah supaya memotong kepala patung itu. Maka dipotonglah dia sehingga menjadi seperti keadaan pohon ”.

( Riwayat Abu Daud, al Tirmizi, al Nasa-i dan Ibnu Hibban )

Berdasarkan hadis ini, segolongan ulamak berpendapat bahawa malaikat yang tidak mahu masuk ke rumah kerana sesuatu gambar atau patung sebagaimana dalam hadis yang kesembilan di atas ialah selama mana gambar atau patung tersebut adalah sempurna dan diletakkan dalam keadaan ia tidak dianggap menghinakannya. Jika sebaliknya maka ia tidaklah menghalang malaikat daripada memasukinya. Begitulah juga dalam masalah membuat patung. Jika lengkap sempurna anggotanya maka hukumnya adalah haram dan jika salah satu anggotanya tidak ada yang kiranya tanpa anggota tersebut tidak mungkin dapat hidup, maka membuat patung seperti itu hukumnya adalah harus.

Walau bagaimanapun, menurut Dr. Yusuf al Qardhowi bahawa patung-patung separuh badan yang diletakkan di ruangan-ruangan tertentu seperti patung raja-raja dan pembesar-pembesar, maka ia tidak terkeluar dari perkara-perkara yang diharamkan kerana ia diagungkan.

Mainan kanak-kanak seperti patung manusia, pengantin, haiwan dan sebagainya, dikecualikan daripada pengharaman gambar yang berbentuk (patung) sebagaimana yang tersebut di atas. Ini kerana ia tidak bermaksud untuk diagungkan dan kanak-kanak biasanya bermain dengannya. Dalil kepada perkara tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. bahawa beliau pernah bermain-main dengan patung anak-anakan perempuan bersama kawan-kawan beliau dan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam gembira dengan kedatangan mereka ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ).

Begitu juga dengan patung-patung yang diperbuat dari gula-gula atau coklat yang dijual pada hari-hari keraian atau perayaan tertentu yang kemudiannya akan dimakannya.

Hukum Gambar Fotografi

Tidak diragukan lagi bahawa segala larangan yang berkaitan dengan membuat gambar atau lukisan yang dilarang adalah khusus kepada yang diukir atau dilukis sepertimana perbincangan di atas. Sementara gambar fotografi yang diambil dengan kamera, ia adalah perkara baru yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dan generasi salaf. Adakah ia termasuk di dalam larangan membuat dan menyimpan gambar juga atau tidak?.

Menurut Syeikh Muhammad Bakhit (bekas mufti kerajaan Mesir dalam Mazhab Hanafi) bahawa mengambil gambar fotografi tidak termasuk di dalam gambar yang dilarang. Ini kerana larangan membuat gambar ialah membuat gambar yang tidak pernah ada sebelumnya yang dijadikan sebagai saingan kepada ciptaan Allah. Perkara ini tidak terdapat di dalam gambar fotografi yang diambil melalui alat tersebut (kamera).

Pendapat yang sama juga telah dikemukakan oleh al Syeikh Muhammad al Najdi, seorang ulamak besar di Mesir dalam Mazhab Syafie. Beliau berkata bahawa gambar-gambar fotografi itu samalah keadaannya dengan gambar di dalam cermin atau bayangan gambar dalam air tempayan atau sungai yang tenang. Maka hukumnya adalah harus. Inilah juga pendapat Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa al Azhar yang turut dipersetujui oleh Dr.Yusuf al Qardhowi.

Hukum keharusan ini tidak meliputi gambar-gambar lucah, gambar tokoh atau manusia yang ada hubungan dengan kebatilan dan ahli maksiat.

Penutup

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kita dapati bahawa para ulamak tidak sepakat dalam menentukan hukum berhubung dengan beberapa masalah yang berkait dengan gambar lukisan. Berkata Ibnu al ‘Arabiyy: Terdapat empat pendapat di kalangan ulamak dalam hal ini. Pertama: Mengharuskannya (gambar lukisan) secara mutlak (tidak termasuk dalam bentuk patung). Kedua: Mengharamkannya secara mutlak sama ada lukisan atau ukiran. Ketiga: Jika gambar itu kekal rupanya dan sempurna bentuknya maka hukumnya haram. Jika dipotong kepalanya atau bercerai juzuk anggotanya maka hukumnya adalah harus. Keempat: Jika gambar itu dipijak dan dihina maka hukumnya adalah harus dan sekiranya ia digantung maka ia tidak diharuskan.

Kekhilafan ini berlaku pada lukisan sesuatu yang bernyawa seperti manusia dan haiwan. Adapun gambar lukisan bagi pemandangan selain daripada itu seperti pokok, lautan, kapal, bintang, awan dan seumpamanya maka hukumnya adalah harus menghasilkannya atau menyimpannya selagimana ia tidak mengganggu ketaatan atau bukan sebagai tanda kemewahan yang dimakruhkan. Kecuali gambar yang menjadi simbul agama lain seperti lambang salib nasrani maka hukumnya adalah haram.

Hasil daripada perbincangan di atas juga, kita dapati bahawa para ulamak bersepakat dalam mengharamkan membuat patung sesuatu yang bernyawa yang mempunyai anggota yang lengkap dan sempurna, lebih-lebih lagi apabila dijadikan sebagai perhiasan atau lambang kemegahan dan kebanggaan. Kecuali yang menjadi mainan kanak-kanak.

Semoga dengan perbincangan yang ringkas ini dapat menghilangkan segala keraguan dan kekeliruan yang mungkin timbul dalam diri kita khususnya dalam isu patung replika penyu di Kuala Terengganu yang telah dipindahkan (kerana bentuknya yang sempurna dan lengkap) dan replika udang serta sotong (berbentuk separuh badan) di Bandar Marang, Terengganu yang masih dikekalkan. Dengan ini juga, kita tidak ragu dan syak lagi untuk menghukum haram ke atas patung berhala replika burung di Dataran Millenium, SS 13 Subang Jaya dan Langkawi, patung berhala Tugu Negara dan lain-lain yang seumpamanya termasuk burung petalawati yang diarak, khurafat kuno yang cuba dihidupkan kembali itu.

والله أعلم بالصواب وهو حسبنا ونعم الوكيل وإليه المآب


RUJUKAN

Abdul Qadir Ahmad ‘Atho; Haza Halal Wa Haza Haram. Dar al Kutub al Ilmiyyah, Beirut. Cetakan ke 3, 1405H / 1985M. ms: 185-188.

Al Imam al Nawawi; Sohih Muslim Bi Syarhi al Nawawi. Dar al Hadis, Kaherah. Cetakan 1, 1415H / 1994M. Juzuk ke 7, ms:332-346.

Dr.Yusuf al Qardhowi; Malamih al Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyiduhu. Maktabah Wahbah, Keherah. Cetakan I, 1414H / 1993M. ms: 287-299.

Dr. Yusuf al Qardhowi; al Halal Wa al Haram Fi al Islam.Terjemahan Muammal Hamidy. Pustaka Nasional, Singapura. Cetakan ke 4, 1987. ms: 139-158.

Al Imam Ibnu Hajar al ‘Asqalani; Fathul Bari Bi Syarhi Sahih al Bukhari. Dar al Rayyan, Kaherah. Cetakan I, 1407H / 1987M. Juzuk ke 10, ms: 394-409.

Al Marbawi, Mohd Idris Abdul Rauf; Bahru al Mazi. Dar al Fikr. t.th. Juzuk ke 11, ms: 129-135.

Al Munziri, Abi Muhammad Zakiyuddin; al Targhib Wa al Tarhib. Maktabah ‘Asriyyah, Beirut. t.th, Juzuk ke 4, ms: 41-46.

Drs.Ahmad Dimyathi Badruzzaman; Umat Bertanya Ulamak Menjawab. Cetakan Sinar Baru Algensindo Offset, Bandung. Cetakan ke 2, 1995. ms: 111-113.

Basri Ibrahim; Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih. Dar al Nu’man, Kuala Lumpur. Cetakan 1, 1997. Ms: 389-393.

http:// al-ahkam.com.my/soaljawab84.htm.



[1] Hadis Marfu’ ialah apa yang disandarkan kepada Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, taqrir atau sifat yang mana ungkapannya diungkapkan oleh sahabat atau lainnya. Sama ada sanadnya bersambung dengan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam atau pun tidak. Termasuk dalam al Marfu’ ialah hadis mausul, mursal, muttasil dan munqati’.

[2] Makruh Tanzih adalah lebih rendah dari Makruh Tahrim. Makruh Tahrim adalah lebih hampir kepada haram, sementara Makruh Tanzih lebih hampir kepada harus.

Klik papan tanda MDESJ ini untuk KEMBALI KE LAMAN UTAMA

Kategori Dokumen / weblog PAGES