Isnin, Mei 04, 2009

Pengucapan SYAHADAH

MANIFESTASI UCAPAN SYAHADAH DALAM KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM

| Ustaz Ridzuan Hashim, Mantan Imam MDESJ |


1. Muqaddimah

Pada hari ini didapati bahawa sebahagian besar umat Islam tidak lagi melaksanakan dan menghayati ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan seharian mereka. Ini disebabkan kejahilan mereka terhadap agama yang dianuti dan tidak memahami konsep serta tuntutan syahadah yang diucapkan.

Oleh itu mereka merasakan bahawa Islam itu cukup dengan hanya melakukan ibadat-ibadat khususiyyah yang disenaraikan dalam rukun-rukun Islam dan hal-hal yang berkait dengan kekeluargaan semata-mata. Sedangkan kalimah syahadah merupakan kalimah tauhid yang menjadi asas kesahihan aqidah seseorang kepada Allah yang dibuktikan melalui penerimaan dan penghayatannnya terhadap Islam secara menyeluruh serta menolak segala bentuk thoghut dan syirik kepada Allah Taala.

Firman Allah Taala:
ومن يبتغ غير الإسلام دينا فلن يقبل منه وهو في الأخرة من الخاسرين
Maksudnya :
Dan sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai cara hidupnya, maka ia tidak diterima dan dia pada hari akhirat tergolong dari kalangan mereka yang rugi. (Surah Aali Imran: 85)

Firman Allah Ta’ala:
ومن يكفر بالطاغوت ويؤمن بالله فقد استمسك بالعروة الوثقى لانفصام لها والله سميع عليم
Maksudnya:
Dan sesiapa yang mengkufurkan thoghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang teguh dengan ikatan yang kuat yang tidak akan terputus lagi dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah al Baqarah: 256)

Berkata Saidina Umar r.a. bahawa thoghut ialah syaitan. Menurut Jabir r.a., thoghut ialah tukang-tukang tenung nasib. Berkata al Imam Ibnu al Qaiyyim r.a.: Thoghut bagi tiap-tiap kaum ialah sesiapa yang mereka berhakimkan kepadanya selain Allah dan Rasul-Nya atau menyembahnya selain Allah atau pun menurut dan mengikutinya dengan membuta tuli selain Allah atau mentaatinya terhadap sesuatu perkara yang mereka tidak mengetahui dan menganggap ia adalah ketaatan kepada Allah.

2.1 Konsep Dan Tuntutan Syahadah

Bagi memahami konsep dan tuntutan syahadah maka di sini perlulah dijelaskan beberapa perkara yang berkaitan. Antaranya;

2.1.1 Konsep Syahadah

Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Usul al Dakwah telah menjelaskan bahawa syahadah ialah penyaksian, pemberitahuan dan penjelasan. Sebab itu orang yang bersyahadah dipanggil bersaksi kerana dia mengkhabarkan atau memberitahu apa yang diketahui olehnya. Ia merupakan kalimah yang mengandungi makna pengakuan, pengiktirafan dan keyakinan. Seseorang yang bersaksi ke atas sesuatu perkara, sudah tentu dia meyakini terhadap kesahihan apa yang disaksikan dan apa yang dikhabarkan olehnya. Sekiranya dia menyaksikan apa yang dia sendiri tidak yakini maka penyaksiannya itu adalah palsu dan dusta semata-mata. Ini kerana pemberitahuan atau ikrarnya itu tidak sepertimana yang dia iktiqadkan.

Keadaan ini samalah sepertimana yang telah didedahkan oleh Allah tentang golongan munafik di zaman Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam yang datang mengaku bahawa Baginda adalah Rasulullah tetapi pengakuannya itu dinafikan oleh Allah dengan menyatakan bahawa ia adalah bohong dan palsu. Ini kerana golongan tersebut walaupun mengaku Muhammad itu adalah Rasulullah, tetapi mereka tidak bersedia beramal dengan Islam yang dibawa oleh Baginda kerana ketidakyakinan mereka terhadapnya.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu, mereka berkata “ kami mengakui
bahawa sesungguhnya Kamu benar-benar utusan Allah (Rasulullah)”. Sedangkan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya Kamu benar-benar Rasul-Nya. Dan Allah menyaksikan bahawa orang-orang munafik itu adalah benar-benar berdusta (dalam pengakuan mereka).
(Surah al Munafiqun: 1)

Berdasarkan keterangan di atas maka dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa seseorang yang mendakwa dirinya sebagai muslim kerana syahadah yang dilafazkan tetapi diwaktu yang sama dia tidak yakin dan tidak bersedia beramal dengan Islam itu sendiri sebagai satu sistem dan cara hidup yang menyeluruh yang menjadi tuntutan kepada syahadah maka penyaksiannya itu adalah palsu, bohong dan dusta semata-mata.

Golongan seperti ini telah didedahkan oleh Allah dalam firmanNya yang berkmaksud:

Apakah Kamu (wahai Muhammad) tidak melihat kepada satu golongan manusia yang mendakwa bahawa mereka telah beriman dengan apa yang diturunkan kepada Kamu dan apa yang diturunkan sebelum dari Kamu?( Mereka itu mendakwa beriman kepada al Quran dan kitab-kitab terdahulu) tetapi (di waktu yang sama) mahu berhukumkan kepada thoghut sedangkan mereka telah diperintahkan supaya mengkufuri thoghut itu.Dan syaitan pula mahu menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka, marilah kamu semua tunduk kepada apa yang diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasul, nescaya Kamu lihat orang-orang munafik itu akan menghalang (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati dan menerima) Kamu.
(Surah al Nisa’: 60-61).

Perlu difahami bahawa konsep syahadah itu sendiri merupakan manhaj atau sistem kepada kehidupan manusia secara menyeluruh. Pengakuan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah merupakan satu penyaksian bahawa pengabdian diri adalah semata-mata kepada Allah. Manakala bukti kepada penyaksian bahawa Muhammad itu adalah Rasulullah ialah dengan menerima dan menghayati cara dan bentuk pengabdian mengikut sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam untuk dimanifestasikan dalam kehidupan seharian.

Seseorang itu tidak dikira mengabdikan diri kepada Allah semata-mata, sekiranya dia tidak menerima Islam secara menyeluruh dan mengamalkan undang-undang dan peraturan hidup yang lain daripada syariat Allah.

Firman Allah Ta’ala:
ام لهم شركاء شرعوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله
Maksudnya:
Apakah bagi mereka itu sekutu-sekutu selain daripada Allah, yang menggubal undang-undang kepada mereka dalam perkara agama yang tidak diizinkan oleh Allah. (Surah al Syuura: 21)

Tindakan tersebut juga bertentangan dengan pengakuannya bahawa Muhammad adalah Rasulullah kerana ia menerima cara dan bentuk pengabdian yang tidak diajar oleh Baginda sollallahu ‘alaihi wasallam.

Firman Allah Ta’ala:
وما آتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا
Maksudnya:
Dan apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu, maka ambillah dan apa yang dilarang olehNya, maka tinggalkanlah. (Surah al Hasyr: 7).

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
والذين نفس محمد بيده لو بدالكم موسى فاتبعتموه وتركتموني لضللتم عن سواء السبيل،
ولو كان حيا وأدرك نبوتي لاتبعني

Maksudnya:
Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuassanNya.Kalaulah Nabi Musa muncul di kalangan kamu semua, lalu kamu mengikutNya dan meninggalkan Aku, nescaya kamu akan sesat dari jalan yang betul dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi dan berada dalam masa Aku menjadi nabi, maka dia hendaklah mengikut Aku (tidak boleh membawa ajaran tauatNya).
( Riwayat al Darimi )

2.1.2 Pembahagian Tauhid

Seseorang yang melafazkan syahadah adalah bermakna dia telah mentauhidkan Allah Ta’ala.Tauhid kepada Allah mestilah merangkumi Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Di sini dijelaskan secara ringkas berhubung dengan kedua-dua tauhid tersebut.

i) Tauhid Rububiyyah

Iaitu mengiktiqadkan dengan iktiqad yang jazam bahawa Allah Ta’ala adalah mencipta dan mentadbir semua benda dan perkara yang ada dalam dunia ini di mana tiada pentadbir yang lain melainkan Allah Ta’ala yang Maha Esa dan Maha Berkuasa.

Tauhid ini tidak memadai untuk dianggap seseorang itu beriman kepada Allah. Ini kerana tauhid ini juga diakui oleh golongan kafir dan musyrik bahkan termasuklah iblis.Yang membezakan antara orang-orang yang beriman dengan mereka ialah Tauhid Uluhiyyah dan al Asma’ wa al Sifat.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu) siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup daripada benda yang mati dan mengeluarkan yang mati dari benda yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekelian alam? (Dengan pertanyaan tersebut) maka mereka yang musyrik pasti akan menjawab dengan berkata “ Allah ”. Oleh itu mengapakah kamu semua tidak takut kepadaNya.
(Surah Yunus: 31)


ii) Tauhid Uluhiyyah

Iaitu mengiktiqadkan dengan iktiqad yang jazam bahawa Allah Ta’ala adalah tuhan yang berhak disembah, tiada tuhan yang lain selain daripadaNya iaitulah Allah Ta’ala.

Firman Allah Ta’ala:
إنني انا الله لا إله إلا انا فاعبدني
Maksudnya:
Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku.
(Surah Toha: 14).

Termasuk di bawah Tauhid Uluhiyyah ialah Tauhid al Asma’ wa al Sifat iaitu dengan makna yang umum ialah mengiktiqadkan dengan iktiqad yang jazam bahawa Allah Ta’ala adalah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan serta Allah bersendirian melakukan semua perkara yang ada di alam dunia ini tanpa bantuan dari mana-mana jua pun.

Al Syeikh Dr.Yusuf al Qardhowi menjelaskan bahawa tauhid tidak akan benar-benar sempurna dan kukuh melainkan mempunyai syarat-syarat berikut:

a) Keikhlasan Ubudiyyah kepada Allah Yang Maha Esa
b) Mengkufurkan setiap thoghut, membersih dan menjauhi dari orang yang menyembahnya atau yang turut memberi kerjasama kepadanya selain Allah.
c) Memelihara dari apa-apa jenis dan tingkatan syirik serta menutup pintu yang terdedah kepadanya.

2.1.3 Pengertian Ilah ( إله ) pada kalimah لا إله إلا الله
Dalam kalimah لا إله إلا الله ini terdapat penafian ( النفي ) iaitu " لا إله " dan penegasan الإثبات)) iaitu " إلا الله ". Yang dinafikan itu ialah tiap-tiap sesuatu daripada hakikat ketuhanan atau kedudukan sebagai tuhan yang lain daripada Allah. Manakala ithbat pula ialah menegaskan atau mengithbatkan hakikat ketuhanan Tuhan Yang Maha Esa lagi Tunggal iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Perkataan ilah bukan sahaja dengan makna tuhan yang disembah sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam tetapi juga mengandungi beberapa pengertian lain yang saling melengkapi. Antara pengertian ilah ialah:-

i) Ilah sebagai Tempat Tumpuan atau Matlamat Peng’abdian

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Dan tiada mereka diperintahkan kecuali menyembah Ilah yang Maha Esa yang tiada Ilah melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.
( Surah al Taubah: 31)


ii) Ilah sebagai Tempat Perlindungan

Dengan syahadah, seseorang muslim itu meyakini bahawa tidak ada sesiapa pun yang mampu memberi perlindungan selain dari Allah. Segala perlindungan yang diberikan oleh mana jua makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung kepada keizinan-Nya. Allah bebas menarik keizinan-Nya bila-bila masa yang dikehendakinya.


Firman Allah yang bermaksud:

Dialah Allah, tuhan yang mentadbir timur dan barat, tiada Ilah melainkan Dia. Maka ambillah Dia sebagai Tuhan Yang Maha Pelindung.
(Surah al Muzammil: 9)

Hasil dari keyakinan ini maka seseorang muslim itu akan membebaskan dirinya dari segala pautan ketakutan dan pengharapan kepada yang lain daripada Allah. Dengan itu maka hilanglah rasa gentar atau takut terhadap sesiapa dari kalangan makhluk dalam dia melaksanakan perintah Allah Ta’ala.

Dengan kalimah ini juga, seseorang muslim akan hanya menjadikan Allah sebagai tempat pergantungannya. Keimanan kepada Allah menjadikan jiwanya tenang dan bebaslah dirinya dari keluh kesah dan perasaan takut. Dengan itu maka tergolonglah dia di kalangan orang yang disebutkan oleh Allah dalam satu firman-Nya yang bermaksud:

Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada ketakutan pada mereka dan tidak pula mereka bersusah hati.
( Surah Yunus: 62 )

iii) Ilah sebagai Tumpuan Kecintaan

Pengertian yang terkandung di dalam kalimah syahadah juga menuntut bahawa Allah tumpuan kecintaan.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tuhan-tuhan selain Allah, mereka menyintainya sebagaimana mereka menyintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. (Al Baqarah: 165)

Lihat Firman Allah, surah al Taubah ayat 24.

iv) Ilah sebagai Pemberi Rezeki

Syahadah menjelaskan satu hakikat yang nyata, iaitu Allah sahajalah yang memberi rezeki. Makhluk hanyalah sebagai pembawa dan penyampainya sahaja, bukan sumber dan tidak berupaya untuk menambah atau menguranginya walau sedikit pun.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Wahai manusia, ingatlah akan ni’mat Allah kepadamu. Apakah ada pencipta selain Allah yang dapat memberi kamu rezeki dari langit dan bumi? Tiada Ilah selain Dia. Maka mengapakah kamu berpaling ( dari mengesakan Allah )?. ( Al Fatir: 3 )

Seseorang muslim yang benar-benar memahami pengertian Ilah yang terkandung di dalam syahadah akan melepaskan dirinya dari sebarang pergantungan kepada selain daripada Allah dalam mendapatkan rezekinya. Ia yakin bahawa segala sumber rezeki adalah daripada Allah.


v) Ilah sebagai Sumber Perundangan

Pengertian Ilah yang terkandung di dalam kalimah syahadah juga mengandungi maksud Allah sebagai tempat rujukan dalam menentukan hukum. Allah sahaja yang berhak menentukan undang-undang dan peraturan hidup manusia. Kekuasaan ini adalah mutlaq dan tidak boleh dibahagi-bahagikan. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir.
( Surah al Maidah: 44 )

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Apakah bagi mereka itu sekutu-sekutu selain daripada Allah, yang menggubal undang-undang kepada mereka dalam perkara agama yang tidak diizinkan oleh Allah.
( Surah al Syuura: 21)

Allah Ta’ala menafikan iman orang yang tidak mahu berhakimkan kepada Nabi sollallahu ‘alaihiwasallam dalam memutuskan sesuatu hukum bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku antara manusia sebagaimana firmanNya dalam surah al Nisa’ ayat 65.

Orang-orang yang tidak menghukum dengan hukum-hukum Allah, mereka menjadi kafir yang nyata apabila tindakan mereka itu memenuhi salah satu dari dua sudut berikut:

a) Menghukum dengan hukuman yang lain dari hukum Allah serta beriktiqad atau meyakini bahawa hukum yang dilaksanakan itu lebih baik daripada hukum Allah.

b) Menghukum dengan hukuman yang lain dan hukum Allah serta beriktiqad atau meyakini bahawa hukuman yang dilaksanakannya itu sama tarafnya degan hukum Allah dengan tidak ada perbezaan antara satu sama lain.

Sekiranya menghukum dengan hukuman selain dari hukum Allah tetapi masih beriktiqad bahawa hukum-hukum Allah lebih baik, maka ia tidak menjadikan sesorang itu kafir. Tetapi tindakan tersebut adalah berdosa dan termasuk dalam golongan fasiq dan zalim sebagaimana firman Allah dalam surah al Maidah ayat 45 dan 47.

Walau bagaimanapun, al Syeikh al Marhum Abu A’la al Maududi pernah menegaskan dan mengingatkan bahawa sekiranya seseorang itu berterusan dalam keadaan sedemikian iaitu kehidupan menolak hukum-hukum Allah dengan amal walaupun tidak dengan hati dan iktiqad, maka dia akan jatuh kafir juga sudahnya.

Pengertian Ilah sebagai penentu dan pemutus hukum juga dapat diperhatikan daripada ayat berikut:
Firman Allah Ta’ala:
إتخذوا أحبارهم ورهبانهم أربابا من دون الله
Maksudnya:
Mereka itu mengambil atau menjadikan orang-orang alim mereka dan pendita-pendita sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah. ( Surah al Taubah: 31).

Ketika Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam membaca ayat ini di hadapan ‘Adi bin Hatim Attoie yang sebelumnya beragama Nasrani, maka beliau pun berkata: Ya Rasulullah, mereka itu tidak menyembah mereka ( pendeta dan ahli agama ).

Jawab Rasulullah sollalahu ‘alaihi wasallam:
بلى إ نهم حرموا عليهم الحلال وأحلوا لهم الحرام فاتبعوهم فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya:
Ya, tetapi mereka haramkan apa yang dihalalkan oleh Allah, menghalalkan untuk mereka apa yang Allah haramkan, lalu mereka itu mengikut apa yang diputuskan oleh mereka (pendeta dan ahli agama), maka itulah ertinya mereka menyembah mereka itu.

Ketaatan yang dituntut oleh syahadah ialah ketaatan yang penuh kepada Allah semata-mata.Seseorang muslim tidak boleh terikat kepada undang-undang ciptaan manusia sekiranya ia bententangan dengan syariat Allah. Syahadah menuntutnya agar menentang dan membenci segala perundangan yang durhaka kepada Allah.

Al Syeikh Dr. Yusuf al Qardhowi menegaskan bahawa sesiapa yang meletakkan ketaatan kepada makhluk dan mengikutnya dalam perkara agama atau hukum dan perundangan yang tidak diizinkan oleh Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mengambil dan menjadikannya sebagai tuhan dan sembahan sekalipun dia tidak menamakannya dengan nama sedemikian.

Beliau juga menegaskan bahawa di antara syirik akbar (syirik yang boleh membatalkan aqidah) yang halus yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia ialah mengambil selain daripada Allah sebagai penggubal undang-undang atau mencari selain daripada Allah sebagai hakim, atau dengan kata lain memberi kepada sesetengah manusia hak mutlak menggubal undang-undang dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah sama ada untuk mereka atau orang lain.

Al Quran juga menamakan hukum yang lain daripada Islam sebagai hukum jahiliyyah. Firman Allah Taala:
أفحكم الجاهلية يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون

Maksudnya:
Apakah hukum jahiliyyah itu yang mereka cari? Siapakah lagi yang lebih baik daripada Allah dari segi hukumannya kepada orang-orang yang yakin? (Surah al Maidah: 50)

Berkata Ibnu Kathir ketika memberi komennya tentang ayat di atas:

Mereka mengikut kemahuan dan kehendak mereka serta terpesong dari hukum Allah. Seterusnya beliau menyebut dalam tafsirnya peristiwa penyelewengan yang berlaku ketika pusat negara Islam Baghdad dijajah oleh Monggol, di mana mereka telah menggubal perlembagaan yang dinamakan dengan Undang-undang atau Perlembagaan Yasak, iaitu yang bersumberkan agama Yahudi, Kristian, Islam dan akal fikiran. Beliau menegaskan bahawa para ulamak menghukumkannya sebagai kafir yang wajib ditentang dengan sekeras-kerasnya.

Berkata al Syahid Syed Qutb r.a:

Sesungguhnya syariat Islam itu satu-satunya yang berhak disifatkan sebagai syariat. Ada pun yang lain daripadanya dikira hawa nafsu yang bersumberkan jahiliyyah.Menjadi kewajipan kepada para pendakwah mengikut syariat Islam sahaja dan meninggalkan hukum hawa nafsu.

Firman Allah Ta’ala: أرءيت من اتخذ إلهه هواه

Maksudnya:
Apakah Engkau tidak melihat (wahai Muhammad) orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya (yang dipuja dan ditaati serta dituruti)? ( Surah al Furqan: 43)

4. Penutup

Demikianlah secara ringkas perbincangan yang dapat disebutkan dalam masalah yang berkait dengan syahadatain yang diucapkan sebagai syarat seseorang itu dianggap sebagai muslim.

Memahami konsep dan tuntutan syahadah teramatlah penting bahkan menjadi suatu tuntutan fardhu ain ke atas setiap individu kerana ia menjadi asas dan pokok dalam Islam. Sekiranya syahadah seseorang itu rosak dan ditolak oleh Allah maka sia-sialah segala amalan yang dilakukan olehnya.

Semoga kita diselamatkan oleh Allah daripada segala perkara yang boleh merosakkan iman dan syahadah kita.


RUJUKAN
  • Al Quran al Karim.
  • Abu ‘Urwah, Konsep-konsep Umum Islam. Cetakan II, 1990M. Pustaka Salam, Kuala Lumpur.
  • Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul al Dakwah. Cetakan II,1407H/1987M. Muassasah al Risalah, Beirut.
  • Dr. Yusuf al Qardhowi, Pengertian Tauhid. Terjemahan Abdul Majid bin Abdullah. Cetakan II, 1999M. Pustaka Salam, Kuala Lumpur.
  • Mohd Ali Al Sobuni, Mukhtasor Tafsir Ibnu Kathir. Jilid 1&3. Cetakan II, 1396H. Dar al Quran al Karim.
  • Haji Sa’id bin Haji Ibrahim, Aqidah Ahli Sunnah wa al Jama’ah. Cetakan II, 1996M. Dar al Makrifah, Kuala Lumpur.
.

Klik papan tanda MDESJ ini untuk KEMBALI KE LAMAN UTAMA

Kategori Dokumen / weblog PAGES