Khamis, Mei 14, 2009

Jamak dan Qasar

SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR KETIKA MUSAFIR

|Ustaz Redzuan Hashim, Mantan Imam MDESJ|


Syarat-Syarat Perjalanan Yang Membolehkan Jamak Dan Qasar

i- Jarak jauh perjalanan cukup dua marhalah iaitu 81km atau lebih.

ii- Hendaklah diketahui arah yang hendak dituju.Tetapi setelah melebihi jarak dua marhalah,

boleh jamak dan qasar walaupun masih belum diketahui tempat yang dituju.

iii- Perjalanan bukan untuk maksiat


Sembahyang Jamak

Iaitu menghimpunkan dua sembahyang tunai dalam satu waktu. Iaitu antara sembahyang Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak.


Terbahagi kepada dua:


i- Jamak Taqdim - Iaitu menunaikan sembahyang yang kedua dalam

waktu yang pertama. Asar didirikan dalam waktu Zohor dan Isya’ didirikan dalam waktu Maghrib.

ii- Jamak Ta’khir - Iaitu melewatkan sembahyang pertama dan

ditunaikan dalam waktu yang kedua. Zohor didirikan dalam waktu Asar dan Maghrib didirikan dalam waktu Isya’


Syarat Jamak Taqdim

i- Ditunaikan secara tertib antara keduanya. Iaitu ditunaikan dahulu sembahyang yang pertama kemudian diikuti dengan sembahyang yang kedua ((iaitu Zohor dahulu kemudian Asar dan Maghrib dahulu kemudian Isyak)

ii- Berniat untuk menjamakkan sembahyang kedua ke dalam waktu sembahyang pertama ketika takbiratul ihram dalam sembahyang

pertama atau di tengah-tengah solat tersebut selama mana dia belum memberi salam.

iii- Berturutan (muwalat) antara keduanya. Tidak boleh diselang dengan sembahyang sunat atau lain-lain perbuatan termasuk berwirid dan doa kecuali keuzuran tertentu yang diizinkan syarak seperti berwuduk dan seumpamanya. Dan disunatkan iqamah sebelum sembahyang kedua.


Syarat Jamak Ta’khir

i- Berniat melewatkan sembahyang pertama ketika dalam waktunya. Ertinya apabila masuk sahaja waktu Zohor atau Maghrib, kita hendaklah memasang niat iaitu hendak mengerjakan sembahyang Zohor pada waktu Asar atau Maghrib pada waktu Isya’.

ii- Masih berada dalam musafir ketika masuknya waktu yang kedua.

Di sini tidak disyaratkan tertib antara kedua sembahyang. Dan tidak disyaratkan juga muwalat tetapi disunatkan.


Sembahyang Qasar

Iaitu memendekkan sembahyang empat rakaat seperti Zohor, Asar dan Isyak kepada dua rakaat.


Syarat-syarat sah sembahyang qasar

i- Ditunaikan ketika dalam keadaan musafir iaitu setelah melepasi pagar atau sempadan pekan yang hendak ditinggalkan. Musafir akan berakhir setelah kembali dan sampai ke kawasan sempadan pekan yang ditinggalkan tersebut.

ii- Masuk waktu sembahyang ketika dalam musafir.

iii- Tidak berniat untuk tinggal ditempat tujunya selama empat hari atau lebih; tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Sekiranya seseorang itu terpaksa melanjutkan tempoh tinggalnya lebih daripada

empat hari kerana sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan, dia boleh melakukan qasar di tempat tersebut dalam tempoh 18 hari.

iv- Orang musafir tidak boleh menjadi makmum kepada orang yang bersembahyang tamam (sempurna empat rakaat).


Seseorang yang musafir boleh memilih antara tiga cara dalam melakukan jamak dan qasar. Tiga cara tersebut ialah:

i- Jamak sahaja tanpa qasar

ii- Jamak dan qasar sekali

iii- Qasar sahaja tanpa jamak


Demikianlah pengenalan secara ringkas kaedah sembahyang jamak dan qasar bagi orang yang musafir. Semua ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang memudahkan, bukannya memayah dan membebankan umatnya.


Semoga kita termasuk di kalangan hamba Allah yang sentiasa melaksanakan segala perintahnya walau apa keadaan dan di mana pun kita berada.


Sekian, wassalam.


Disediakan oleh:

RIDZUAN BIN HASHIM


.

Klik papan tanda MDESJ ini untuk KEMBALI KE LAMAN UTAMA

Kategori Dokumen / weblog PAGES